Keluarga 4 remaja simbah surau cat mohon maaf

Ibu bapa anggap perbuatan anak melampau, tak sensitif

SEREMBAN: Keluarga empat remaja yang ditahan berhubung kejadian surau Taman Pulai Impian, Sikamat di sini, yang disimbah cat merah dan dibaling botol arak Isnin lalu, memohon maaf kepada masyarakat Islam di atas perbuatan anak mereka.
Peniaga, Cheng Kok Foo, 38; tukang rumah, Wong Seow Wai, 43; mekanik, Loh Teck Ai, 53, dan suri rumah, Leong Foong Kuen, 53, menyifatkan perbuatan anak mereka sebagai melampau kerana tidak menghormati sensitiviti penduduk Islam taman itu.
Dua daripada mereka tinggal di taman itu, seorang dari taman perumahan berdekatan, manakala seorang lagi dari Rasah Jaya.

Mereka mendakwa hanya mengetahui perbuatan anak masing-masing selepas polis datang ke rumah dan menahan remaja berusia antara 16 hingga 18 tahun itu, malam Isnin lalu.

Cheng berkata, mereka dengan ikhlas meminta maaf kepada seluruh masyarakat Islam dan berharap anak mereka diberi peluang menyesali perbuatan itu.

“Kami tahu mereka sudah melakukan kesalahan besar dan sukar dimaafkan, tetapi kami berharap masyarakat di sini boleh memaafkan mereka,” katanya pada sidang media diaturkan MCA Negeri Sembilan di pekarangan surau itu, semalam.
Wong pula berkata, perbuatan anaknya mungkin berpunca akibat kurang didikan dan berjanji akan mengajarnya dengan lebih mendalam supaya menghormati orang lain, selepas ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, sekumpulan jemaah yang masuk ke kawasan surau berkenaan kira-kira jam 5.50 pagi untuk solat Subuh, terperanjat apabila mendapati surau yang baru dibina itu disimbah cat merah dan dibaling botol arak.

Sementara itu, Pengerusi surau Taman Pulai Impian, Mohd Hasbi Ismail, 35, berkata pihaknya dengan hati terbuka menerima permohonan maaf itu dan berharap kejadian sama tidak berulang.

Beliau turut berharap remaja terbabit berubah sikap dan sentiasa menghormati sensitiviti kaum dan agama lain.

Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Senator Datuk Dr Yeow Chai Thiam, berkata pihaknya turut kesal terhadap kejadian itu dan berharap permohonan maaf keluarga remaja terbabit dapat meredakan sebarang ketegangan yang timbul.

Beliau turut menjemput seluruh masyarakat taman perumahan berkenaan hadir pada majlis berbuka puasa anjuran MCA di pekarangan surau berkenaan petang ini.

P/S : MINTA MAAF JA? APA PERASAAN KALAU TEMPAT SEMBAYANG KENA BUAT BEGITU?

Comments

Popular Posts