40 ribu nama diragui, apa jadi dengan #ALIS - #penipu

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Pendedahan wujud 40,000 pemilih 'diragui' yang mahu dipamer oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kepada umum menimbulkan persoalan apa sudah jadi dengan Agency Link-Up System (ALIS).

ALIS iaitu satu sistem yang menghubungkan pengkalan data SPR dengan pengkalan data warganegara di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ianya digunakan bagi mengenalpasti individu yang mendaftar sebagai pemilih adalah sah sebagai warga negara.


"Sebelum ini SPR begitu berbangga kerana mempunyai sistem yang dihubungkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikenali sebagai ALIS (Agency Link-Up System).

"Sudah pastilah JPN mempunyai pengkalan data yang paling canggih dalam negara kita. Tapi apa sudah jadi dengan sistem ini," soal Exco Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat.

Beliau yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi dewan itu turut mempersoal adakah JPN tidak memiliki identiti semua warga negara Malaysia sehingga perlu dipaparkan kesemua 40 ribu pemilih yang meragukan kepada media.

Sepatutnya dengan sistem ALIS itu katanya, SPR dan JPN sudah mampu membezakan antara pengundi asli dan pengundi palsu.

"Mengapa baru sekarang SPR menyedari pemilih yang meragukan. Apakah sebelum ini SPR tidak menyedarinya?

"Kalau tidak menyedarinya bagaimana status pilihan raya ke-12 yang penuh dengan daftar pemilih yang tercemar," soalnya lagi.

Selain itu beliau turut mempersoal apakah SPR sudah tidak yakin dengan JPN kerana kelemahan sistem pengkalan datanya sehingga terpaksa dipamer kepada umum.

Ke mana hilang 10,000 lagi nama

Sementara itu, beliau mahu SPR menjelaskan ke mana hilangnya sejumlah 10,000 lagi nama yang sebelum ini didakwa sedang di siasat oleh mereka.

"Dalam kenyataan media yang terbaharu Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof telah mendedahkan bahawa terdapat 40 ribu pengundi yang diragukan.

"Sedangkan sebelum ini kenyataan yang dikeluarkan oleh SPR bahawa terdapat 50 ribu pemilih yang sedang disiasat. Saya tidak tidak pasti bagaimana 10 ribu pemilih hilang secara tiba-tiba," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Pun begitu, beliau turut mengucap syabas kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya,Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof kerana akhirnya akur bahawa daftar pemilih SPR perlu dibersihkan.

Beliau juga mahu usaha Pemuda PAS membongkar segala kelemahan dalam sistem pilihan raya tidak lagi diperlekeh SPR.

Comments

Popular Posts